Monday, November 19, 2012

SAMM tawar diri roboh kamera AES di Selangor


Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menawarkan diri untuk merobohkan kamera haram Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Selangor secara sukarela dan percuma.

Ini kerana hanya berbaki tujuh hari lagi daripada 14 hari tempoh yang diberi kepada Kementerian Pengangkutan untuk menanggalkan dua kamera AES yang dipasang secara haram di negeri itu, kata Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan.

Katanya, menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Ronnie Liu, jika kamera tersebut gagal diturunkan sehingga tempoh yang ditetapkan berakhir pada 25 November ini, kerajaan negeri akan mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk robohkannya.

“Justeru, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan ini menawarkan diri untuk merobohkan kamera haram tersebut secara sukarela dan percuma,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tawaran SAMM itu juga mampu mengurangkan kos yang bakal dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan mahupun pihak kementerian untuk mengeluar tender atau mengarah petugas khas untuk aksi mengalih kamera haram tersebut.

Bagi SAMM, jelasnya adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk menaikkan apa-apa struktur tanpa kebenaran pihak berkuasa kerana ia turut membabitkan soal keselamatan awam, apatah lagi struktur tersebut juga mengganggu keselesaan awam.

“Sekiranya struktur awam ini menyebabkan kecelakaan, siapakah yang akan bertanggungjawab sedangkan ia dipasang secara haram?” tanya beliau.

Maka, katanya SAMM sangat berbesar hati untuk memastikan struktur awam ini dialihkan dengan kerjasama mana-mana pihak yang ingin bersama.

SAMM juga, kata beliau mempunyai kemahiran dan punya tenaga anak muda yang cukup untuk menurunkan kamera AES dengan selamat.

SAMM juga, ujarnya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Khalid Ibrahim dari Pakatan Rakyat kerana membuktikan isu kamera AES ditangani dengan serius, lebih-lebih lagi apabila kamera tersebut dinaikkan secara haram.

“SAMM melihat ini sebagai bukti rakyat diutamakan berbanding kerajaan Barisan Nasional yang sentiasa berpihak kepada konglomerat dan kroni dalam banyak perkara,” katanya lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...