Sunday, November 18, 2012

PRU13: Ada tokoh tertentu akan jadi calon PAS


Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali memberitahu akan ada di kalangan calon PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti yang bukan dari cadangan mana-mana cawangan, kawasan mahupun negeri.

Sebaliknya, calon-calon ini adalah pilihan pimpinan tertinggi parti yang merasakan perlu untuk mereka bertanding atas faktor tertentu.

Menurut Mustafa, kebiasaannya pejabat setiausaha agung akan meminta PAS negeri mencadangkan tiga nama sama ada untuk peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) atau Parlimen.

Negeri pula biasanya akan meminta cadangan nama calon itu daripada kawasan untuk diserah kepada pusat bagi diteliti oleh  jawatankuasa harian PAS dan kemudia Majlis Syura Ulamak.

"Ada juga individu yang tidak dicadangkan oleh parti sama ada oleh cawangan, kawasan atau negeri, tetapi pimpinan merasakan perlu orang-orang tertentu ini diberi tempat bertanding dalam PAS, tapi jumlahnya tak ramai.

"Ini kerana mereka mungkin ada pengaruh di kalangan masyarakat dan penyertaan mereka sebagai calon akan memberi nilai tambah sokongan rakyat kepada PAS," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap menggulung ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS semalam.

Justeru ujar beliau, ahli di semua peringkat harus faham dengan sebarang ketetapan yang akan diputuskan oleh pimpinan tertinggi parti.

Sementara itu, Mustafa turut menjelaskan bahawa tidak berlaku dalam PAS di mana calon, mencari-cari sendiri kawasan yang dia mahu bertanding.

Sebaliknya, hal berkaitan kawasan khususnya parlimen adalah ditentukan juga oleh pimpinan tertinggi parti.

"Kalau nak kata bahawa orang tertentu mencari-cari tempat mana dia nak bertanding, itu tidak ada berlaku dalam PAS.

"Sebab syarat nak jadi calon dalam PAS ini, dia tak boleh mintak nak jadi calon. Kalau dia mintak jadi calon awal-awal lagi dia tidak akan jadi calon," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...