Sunday, November 18, 2012

PAS kecam serangan terhadap Gaza



(Suasana bandar Gaza apabila diserang Israel)

PAS mengecam tindakan serangan udara terbuka oleh Israel terhadap Semenanjung Gaza yang mengorbankan berpuluh rakyat, termasuk ketua sayap tentera Hamas.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS turut mengutuk kenyataan terbuka Israel untuk terus menyerang Gaza.

Beliau turut mempersoalkan tindakan membisu Wisma Putra yang masih menyatakan pendirian rasmi terhadap pencerobohan terbaru ini.

“Majlis Keselamatan PBB, Liga Arab dan OIC perlu mengadakan sidang tergempar untuk mencari penyelesaian segera.

Kekejaman terhadap rakyat Palestin mesti dihentikan segera. Rakyat seluruh dunia sepatutnya bersama mengutuk kezaliman ini kerana ia telah melanggar hak kemanusiaan melampau,” tegas Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Beliau turut menasihatkan dunia Islam untuk mengetepikan soal perbezaan mahzab dan menggesa mereka bersatu memperjuangkan isu Palestine, yang berdekad lamanya ditindas Zionis Israel yang dibantu Amerika Syarikat.

Rabu lepas, tentera Israel telah mengebom bandar Gaza Palestin pada malam tahun baru Islam dalam satu misi khas yang dinamakan 'Pillar of Defence' yang sehingga kini membunuh 15 orang termasuk seorang pemimpin kanan Hamas.

Israel melancarkan serangan tersebut kira-kira jam 10 malam (waktu Malaysia) pada Rabu.
Selain serangan udara, serangan roket juga dilancarkan dari kapal tentera laut Israel ke penempatan masyarakat Palestin di Gaza.

Semalam, dua demonstrasi aman telah dilakukan untuk membantah serangan dan kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap Gaza.

Di Kuala Lumpur, himpunan bermula di Masjid Tabung Haji selepas solat Jumaat kemudiannya berarak dan berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika disertai oleh Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Pertubuhan Himpunan Lepasan Institut Pendidikan Malaysia (Haluan Malaysia) dan Aqsa Syarif.

Di Kota Bharu, Himpunan Aman Dewan Pemuda PAS Malaysia membantah kekejaman terbaru Israel ke atas Gaza Palestine telah diadakan di Masjid As Salam Pangkalan Chepa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...