Sunday, November 18, 2012

Hudud dan Soi Lek: Bukti Umno gagal


Sekali lagi Datuk Sri Chua Soi Lek mengeluarkan kenyataan anti-hudud dengan menyatakan bahawa 1.2 juta rakyat Malaysia bakal menganggur jika hudud dilaksanakan. Pernyataan ini jelas menunjukkan Umno gagal dalam memimpin Barisan Nasional serta memberi kefahaman Islam kepada rakan kerjasama yang bukan Islam.


Pada 4 Disember tahun lalu, beliau telah membuat kenyataan jika dilaksanakan hudud Malaysia akan kehilangan pelabur serta hukuman ini bias serta zalim terhadap kaum wanita. Seterusnya pada 1 Julai baru-baru ini, beliau sekali lagi mengeluarkan kenyataan anti-hudud apabila memberi respon bahawa ADUN Kemelah sudah kehabisan idea dan hilang akal setelah ADUN tersebut mencadangkan dilaksanakan hudud di Johor.

Dengan ini, saya tegaskan Umno sebagai parti dominan dalam Barisan Nasional telah gagal berperanan untuk memberi kefahaman dan gambaran yang sebenar berkenaan Islam secara holistik. Sehingga kini, tiada lagi kenyataan tegas daripada pimpinan tertinggi Umno mahupun Ulama Muda Umno. Apakah mereka takut kepada MCA atau turut menjadi perancang mewujudkan propaganda hudud sebagai modal politik murahan?

Tidak pelik jika Soi Lek yang bukan Islam itu mempertikai hudud tapi sangat janggal jika orang Islam (Umno) tidak menegur serta memberi kefahaman apabila syariat Islam dipertikai dan diperlekeh.

Kesimpulannya, BN kian parah dan mempunyai krisis kepimpinan yang teruk. Buktinya Umno telah gagal memimpin dan mengurus BN sehingga syariat Islam dihina oleh parti komponen BN sendiri. Seterusnya MCA sebagai parti komponen BN turut bermasalah dengan mempunyai Presiden yang bermentaliti rendah sehingga membuat kenyataan bersumberkan satu SMS layang.

Syis Abdul Kadir
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Uni. Malaya
PMIUM 2012/13
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...