Sunday, November 18, 2012

Mustafa Ali perjelas isu Harakah


Pengerusi Harakah, Datuk Mustafa Ali hari ini tampil menjelaskan isu lidah rasmi parti itu yang menjadi antara topik hangat dibangkitkan pada muktamar khususnya dalam usul Muktamar Dewan Pemuda PAS, khamis lalu.

Bercakap sewaktu sesi penggulungan ucapan dasar presiden petang ini, beliau yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, beliau mengakui ada kelemahan tertentu pada akhbar itu.

Kelemahan itu katanya berkait ruang lingkup laporan berkaitan parti yang tidak dapat dipenuhi secara semua sekali seperti dikehendaki ahli, kerana terpaksa menjadikan akhbar harakah juga sebagai akhbar rakyat dan bukan untuk ahli sahaja.

"Kita nak sampaikan kandungan Harakah ini kepada seluruh lapisan masyarakat. Kalau buat berita parti sahaja, hanya orang PAS lah yang baca," katanya.

Bagaimanapun katanya, perkara itu bukan mudah kerana Harakah juga berdepan peraturan Kementerian Dalam Negeri yang menetapkan kandungan Harakah hanya berkaitan berita parti sahaja jika tidak mahu bermasalah dengan permit penerbitan.

"Dalam persimpangan kerana KDN tetapkan Harakah untuk ahli sahaja.

"Adakah kita nak menjadikan Harakah lidah rasmi parti sebagai media dakwah, politik, media rakyat atau media parti sahaja," jelasnya.

Menurut Mustafa lagi, dengan kapasiti Harakah hari ini, akhbar itu tidak boleh lagi menjadi media PAS semata-mata malah perlu membuka sedikit ruang kepada rakan Pakatan Rakyat lain.

"Jangan kita cemburu hal ini. Ini sebagai satu kesetiaan dan kita dihargai kerana ada berita mereka dalam (akhbar) kita.

"Semua komponen Pakatan Rakyat akui bahawa Harakah adalah media penting untuk mereka manfaatkan," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan semua ahli PAS agar tidak termasuk perangkap Umno BN yang mahu Harakah dilihat tiada kredibiliti.

"Harakah banyak bantu PAS itu sendiri.

"Kalau kita sendiri yang kata Harakah tidak boleh dipercayai, (maka) kita sudah termasuk perangkap Umno," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pihak jamaah pengarah Harakah sentiasa menasihatkan pihak editor agar memastikan laporan yang disiarkan adalah tepat.


Kandungan Harakah dan Harakahdaily pula katanya dipandu oleh dua ahli jamaah pengarah Harakah yang sentiasa memantau kandungannya bagi pihak PAS.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...