Sunday, November 18, 2012

PAS bukan parti bermuka-muka - Salahudin


PAS bukan parti bermuka-muka sebaliknya berterus-terang dalam menyatakan dasar dan prinsipnya kepada rakan dalam Pakatan Rakyat, DAP.


Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, berkat sikap berterus-terang PAS itu, orang bukan Islam tidak segan untuk bertanya tentang Islam kepada pemimpin PAS.

"Kita menyatakan dasar kita depan DAP dan di belakang mereka. Kita berterus-terang dan kita bukan parti yang bermuka-muka. Kita tak pernah undur dan dalam tahaluf siyasi PAS tak pernah rugi.

"Siapa sangka pemimpin muda DAP datang berjumpa Tok Guru (Nik Aziz) tanya maksud ayat al-Quran. Kita kena beri peluang kepada orang bukan Islam untuk memahami Islam. Jangan sempitkan ruang kepada bukan Islam untuk belajar tentang Islam," katanya sewaktu menggulung perbahasan ucapan dasar presiden di Muktamar Tahunan PAS kali ke-58, di Putik hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga berkata, PAS menggunakan ruang perbahasan di Dewan Rakyat sebaik mungkin dalam menyatakan pendirian dan hala tuju Pakatan Rakyat selepas mengambil alih Putrajaya.

"Presiden menyatakan dengan tegas bahawa pelaksanaan syariat Islam adalah mengikut lunas demokrasi. Maka membunuh hujah bahawa kita takut berhadapan rakan-rakan Pakatan Rakyat.

"Di Parlimen, apabila wakil kita bangun, kita tidak pernah lengah dan tak pernah lupa tanggunjawab. Parlimen memberi ruang lingkup yang luas untuk kita memberitahu kerajaan apa yang kita sasarkan apabila menguasai Putrajaya.

"Dokumen Negara Berkebajikan dan Buku Jingga kita pegang menunjukkan apa yang kita bawa memberi erti yang besar kepada negara. Jadi tak timbul kita tak mampu jelaskan soal Islam," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...