Tuesday, November 6, 2012

Anak pemimpin Umno ada saham dalam AES?


Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa syarikat anak bekas pimpinan Umno Johor antara yang mengendalikan saman Sistem Peguatkuasaan Automatik (AES).


Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat, Chang Lih Kang berkata salah satu syarikat yang mendapat projek AES adalah Beta Tegap Sdn Bhd dimana pemegang saham terbesar syarikat itu adalah anak bekas Ketua Bahagian Umno Parit Sulong.

Katanya, ibu pemilik saham syarikat berkenaan merupakan bekas Timbalan Ketua Wanita Umno Johor dan Ahli Jawatankuasa Wanita Umno Pusat.

Manakala katanya, pemegang saham kedua terbesar dikatakan pernah mendapat kontrak pada 2005 dari Kementerian Kesihatan melalui syarikat Mediharta Sdn Bhd.

"Apakah ini secara kebetulan? Kedua-dua kementerian ini di bawah menteri MCA. Apakah ada hubungan rahsia antara pemegang saham kedua terbesar dengan MCA yang membolehkan beliau mendapat dua kontrak lumayan ini,” soal beliau dalam sidang media di lobi Parlimen.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha adalah Menteri Pengangkutan manakala Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek adalah Menteri Kesihatan pada 2005.

Beliau turut menunjukkan salinan maklumat berkenaan dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Maklumat tersebut menyatakan, Rozana Redzuan adalah Pengarah Beta Tegap dan memiliki saham bernilai RM5.8 juta manakala Andreas Toh bertindak sebagai pengarah dan pengurus serta memiliki saham bernilai RM4.2 juta.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, ternyata melalui maklumat ini menunjukkan hubungan syarikat kroni yang mendapat kontrak dari kerajaan.

Beliau mendesak kerajaan menjelaskan kenapa syarikat swasta dan kroni dilantik mengendalikan AES.

Sebelum ini, KEADILAN mendedahkan, kutipan saman jalan raya akan dikongsi antara kerajaan dengan Beta Tegap dan satu lagi syarikat pengendali, Ates Sdn Bhd.

Kedua-dua syarikat itu mensasarkan 10 juta saman dikeluarkan setahun dan bakal mendapat keuntungan sehingga RM700 juta hasil kutipan saman.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...