Pilihan raya umum sudah semakin hampir. Walaupun Perdana Menteri masih mencari ilham waktu yang sesuai untuk membubarkan parlimen, namun pada jangkaan saya waktu dan tempohnya semakin hampir. Parti-parti politik sama ada Pakatan Rakyat (PR) ataupun Barisan Nasional (BN) masing-masing telah dan sedang melakukan persiapan dan pecutan terakhir untuk menghadapi pilihan raya.
PRU ke-13 ini adalah medan paling getir bagi BN, kerana selama 50 tahun, belum pernah hegemoni kuasa mereka tercalar sebegitu teruk dalam PRU ke-12 yang lepas.
Bagi PR pula, medan PRU13 inilah peluang terbaik buat mereka untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara, membina harapan baru bagi rakyat Malaysia dan menjadikan Malaysia negara yang adil dari sudut demokrasi dan matang gaya politiknya.
Tulisan ini hanyalah bertujuan untuk menyeru anak-anak muda di seluruh Malaysia untuk bersama-sama menunaikan tangungjawab memilih pemimpin negara untuk masa akan datang. Bagi mereka yang sudah mencapai umur 21 tahun dan ke atas, berfikirlah dengan matang. Janganlah mudah diperkotak-katikkan, diperbodohkan secara sewenang-wenangnya oleh pihak-pihak tertentu. Anak muda merupakan kelompok yang cerdas akal pemkirannya, terdedah kepada maklumat yang lebih luas, dan merupakan golongan majoriti sebagai pengundi dalam PRU ke-13 akan datang.
Malaysia merdeka sudah 50 tahun, sepatutnya menjadi negara yang terkehadapan dari sudut demokrasinya, politk yang matang, tiada fitnah, tiada lagi budaya perkauman, tiada lagi budaya ugut dan ancam.
Namun pada hari ini, perkara-perkara tersebut masih dimainkan, diputarkan oleh pihak-pihak tertentu bertujuan untuk menjaga kedudukan elit mereka, harta yang mahu dikumpul sepuas nafsunya dan kekayaan yang mahu dirompak daripada rakyat - kononnya atas nama membela rakyat. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat sendiri, menanggung kesusahan, keperitan dalam meneruskan hidup yang semakin mencabar dan kompleks, pemimpin negara pula duduk bersilang kaki, ketawa dan riang tanpa berasa apa-apa.
Mana-mana pemimpin yang memerintah sesebauh negara, perlulah ikhlas dalam menjalankan amanah mentadbir. Tiada rasuah, tiada penipuan, tiada penindasan.
Di Barat, mana-mana pemimpin yang terlibat rasuah, penipuan, walaupun hanya didakwa dan belum dibuktikan bersalah, namun mereka berjiwa besar untuk melepaskan jawatan. Malangnya itu tidak berlaku di negara kita. Semakin tegal dan bebalnya mereka mempertahankan jawatan seolah-olah mereka akan hidup selama-lamanyanya, tanpa memikirkan soal dosa dan pahala, juga memikirkan bahawa mereka akan menghadap Allah pada hari kiamat dan akan dipersoalkan
Sudah tiba masanya anak muda melakuan perubahan menyeluruh. Sudah terang lagi bersuluh dengan apa yang berlaku pada hari ini. Jenayah makin berleluasa, yang kaya terus kaya dan yang miskin dibiarkan papa kedana, walupun kadang kala diberi makan umpan sekali sekala apabila menjelangnya pilihan raya. Jangan kita menutup pintu hati untuk menerima kebenaran dengan terus menutup mata atas masalah yang berlaku pada hari ini.
Sesunguhnya Allah mengurniakan kepada kita, akal, mata, telinga dan hati untuk tahu dan faham, menilai mana yang baik dan buruk, maslahah dan mafsadah. Segala kurniaan Allah kepada kita ada manfaat dan fungsinya untuk mencari keredhaan Allah.
Ayuh anak muda, jangan takut dan gentar untuk melakukan perubahan, kerana setiap amalan yang baik akan diberi ganjaran oleh Allah. Memilih pemimpin yang adil dan amanah adalah tangungjawab kita, yang pasti akan ditanya oleh Allah pada hari kiamat kelak.