Tuesday, November 6, 2012

Panggil juga Utusan, kata Nurul Izzah kepada Jais


Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) disaran turut memanggil wakil akhbar Utusan Malaysia bagi memberi keterangan berhubung laporan mengenai kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam  forum ‘Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab?, Sabtu lalu.

Izzah berkata, beliau bersedia memberi keterangan kepada Jais jika dipanggil berbuat demikian dan mahu Utusan Malaysia juga disoal siasat kerana memutar belit kenyataannya.

"Ya, saya harap dia (Jais) panggil Utusan Malaysia sekali sebab dia keluarkan kenyataan fitnah akidah tersebut," kata beliau pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu bagaimanapun berkata, beliau tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu pada masa sekarang atas nasihat peguam.

"Saya mengajak semua untuk merujuk kenyataan saya dalam blog dan saya dinasihatkan oleh peguam untuk tidak lagi membuat kenyataan kerana peguam saya akan mengambil tindakan seterusnya," katanya.

Semalam, muka depan Utusan Malaysia menyiarkan artikel bertajuk 'Melayu Bebas Pilih Agama?' dengan memetik laporan portal Malaysiakini berhubung kenyataan Izzah.

Akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan, Pengarah Jais, Datuk Marzuki Hussin berkata, tindakan memanggil Izzah hanya akan diambil sekiranya pihak Jais menerima maklumat berhubung perkara tersebut bagi membantu siasatan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...