Ketiga-tiga Naib Presiden PAS percaya tidak akan ada di kalangan PAS yang mahu mengubah kepimpinan Ulama yang menjadi dasar dan perjuangan PAS selama ini.
Berucap sewaktu penggulungan ucapan dasar di Muktamar Tahunan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kepimpinan ulama sudah termaktub dalam Perlembagaan PAS dan jika ahli PAS mahu menolak dasar itu sudah tentu perlu menggubal semula perlembagaan tersebut.
"Usahlah ada kerisauan terhadap mana-mana individu dalam parti kononya ada yang mahu mengubah kepimpinan Ulama," katanya.
Malah tegasnya, semua tindakan dibuat peringkat eksekutif mesti dirujuk dan persetujuan Majlis Syura Ulama terlebih dahulu.
"Inilah menunjukkan kepimpinan Ulama berjalan dalam parti," katanya.
Datuk Husam Musa pula berkata melalui kepimpinan ulama beliau mempelajari bagaimana untuk mengolah gerakan Islam supaya ia diterima oleh masyarakat yang pelbagai latar belakang.
"Saya mendekati Tuan Guru Mursyidul Am, saya pelajari bagaimana hendak bergaul dengan pelbagai kaum supaya hilang fobia Islam tidak boleh memerintah, inilah yang ditekankan oleh Tuan Guru kepada setiap pimpinan negeri," katanya.
Bagitu juga pandangan yang dikemukakan oleh Salahuddin Ayub, tidak timbul masalah ada hujah ulama dan bukan ulama dalam parti.
"Umnolah yang menimbulkan isu ulama dan bukan ulama malah setiap kali muktamar mesti timbul perkara ini," katanya.
Tegasnya, sesiapa sahaja yang ulama dan bukan ulama akan diterima serta disanjungi tinggi oleh saf kepimpinan.
Terdahulu, Perwakilan Pahang Mukhtar Senik melahirkan kerisauan berhubung kepimpinan Ulama sehingga menegaskan Muktamar PAS kali ini harus meneruskan dasar itu.
Malah katanya, saf kepimpinan harus menolak mana-mana individu yang tidak suka dengan kepimpinan ulama.
"Sesiapa sahaja individu sama ada dalam tulisan atau ucapan yang menolak kepimpinan ulama hendaklah ditolak sebulat suara oleh PAS," katanya sewaktu perbahasan ucapan dasar Presiden PAS.
Mukhtar juga menegaskan agar para ahli PAS walak kepada kepimpinan dan tidak menggunakan platform kebebasan bersuara sehingga mereka tidak akur dengan keputusan ulama.