Umno BN dilihat terdesak apabila kembali memainkan sentimen keagamaan sebagai modal politik serta menimbukan budaya tidak sihat, tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, isu pluralisma hanya dimainkan untuk mengalihkan pandangan umum terhadap isu kezaliman, rasuah dan penyelewengan yang didiamkan supaya tidak diketahui umum.
Katanya, perkara ini hanya didiamkan oleh ulama Umno-BN dan kejadian memutarbelitkan fakta perlu dipandang serius.
“Saya dah jelaskan banyak tempat, Rasulullah itu diutuskan sebagai rahmat kepada sekalian alam, itu cirinya plural.
“Pluralisma itu ialah menyamakan semua agama. Itu soal akidah. Macam mana saya kata semua agama sama? Saya solat ikut Islam. Saya tidak solat pergi gereja.
“Itu hanya nak dimainkan untuk politik mereka (Umno-BN) padahal kezaliman, rasuah dan penyelewengan ustaz-ustaz Umno mana berani sentuh. Gunanya hanya pluralisma agama sahaja secara umum,” ulas Anwar yang mengakui beliau antara ‘mangsa’ putarbelit teks kenyataan ucapan berkaitan keagamaan.
Menurutnya lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri tidak mampu mempertahankan serangan sekutunya MCA yang dilihat lantang memperlekeh perkara berkaitan keagamaan.
“(Datuk Seri) Chua Soi Lek menyerang berdepan dengan Datuk Seri Najib.
“Berani (Najib) sebut? Najib sendiri tidak berani nak ulas (serangan) Chua Soi Lek. Caranya adalah menyerang kenyataan-kenyataan kita,” katanya.
Tambah Anwar lagi, Jabatan Agama Islam perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang mengeluarkan kenyataan menyesatkan serta mereka yang terlibat dengan dengan industri haram seperti judi dan ‘San Miguel’.
“Pluralisma agama kalau seseorang itu meremehkan Islam. Maknanya menolak hukum dan menyatakan semua agama adalah sama.
“Saya tidak pernah sebut (pluralisma). Menghormati agama (lain) apa salahnya?,” soal Anwar lagi.