Sunday, November 18, 2012

Ini cerita Obama, bukan Najib


Tahniah kepada Presiden Barack Obama kerana terus mendapat mandat dan kepercayaan rakyat untuk memimpin Amerika untuk tempoh empat tahun lagi. Kejayaan Obama umumnya sudah dijangka meskipun pada dasarnya tempoh empat tahun yang lepas, pelbagai kecacatan dicatatkan oleh pentadbiran beliau.


Kemenangan ini dilihat cukup dramatik selepas setiap calon masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri dalam usaha membawa negara tersebut ke tanda aras yang mereka mahukan. Obama lebih selesa dengan isu untuk mengembalikan ekonomi Amerika sehingga mampu kembali bersaing dengan kuasa ekonomi dunia lain seperti China, India dan Brasil. Maka tidak pelik jika diteliti dari permulaan kempen obama, banyak kali beliau menegaskan untuk melahirkan semula tenaga pakar yang terdiri dari rakyat amaerika sendiri dan mengembangkan ekonomi di negara mereka tanpa perlu terus “outsourced” kilang-kilang mereka ke luar negara.

Manakala Romney yang selesa dengan kempen keselamatan negara dan berhasrat menambahkan lagi bajet Pentagon sebanyak UDS100 billion jika terpilih sebagai Presiden nyata tidak berjaya menambat hati pengundi yang rata-rata sudah keletihan dengan kempen peperangan yang dilancarkan oleh legasi Bush sedekad yang lepas di Afghanistan dan Iraq.

Obama sudah menjalankan proses pemulihan ekonomi amerika yang terjejas teruk pada tahun 2007 dan ketika menjelang pilihan raya tahun ini, ternyata dia mampu membawakan angka yang cukup membanggakan dari sudut mengurangkan kadar inflasi, pertambahan peluang pekerjaan dan peningkatan mata wang Amerika. Sudah tentu tempoh empat tahun pertama tidak cukup untuk beliau memastikan pelan pemulihan itu berjaya dan kemenangan semalam boleh disiftkan sebagai kemenangan hasil daripada harapan rakyat untuk beliau terus memimpin perubahan di negara tersebut. Obama menyebut tentang “Forward”, dan Romney yang lebih terarah untuk mengembalikan dasar yang diamalkan pada era Bush terutama dalam soal pengutipan cukai menjadi salah satu faktor kenapa rakyat membuat pilihan untuk mengekalkan obama pada posisi tersebut.

Mengulas pilihan raya presiden USA ini dalam konteks Malaysia, sewajarnya bagi Perdana Menteri DS Najib Razak yang sentiasa mencanang bahawa Malaysia sebagai negara yang mengamalkan demokrasi terbaik mengambil contoh beberapa aspek bagaimana demokrasi dipraktikkan secara matang di negara tersebut.

Di Malaysia, kebanyakan ahli politik masih tidak mampu berganjak daripada terus berbicara dalam nada ras, agama dan keturunan. Sentimen ini ternyata begitu kolot dan langsung tidak akan mampu menyumbang ke arah Malaysia yang progresif dan maju tetapi lebih mesra kepada suasana yang tidak seimbang dan sihat. Jika kita menelusuri pilihan raya presiden, sudah tentu wajar diberi pujian kepada kedua-dua calon apabila mereka berjaya mengheret rakyat mereka dalam kancah perbincangan soal idea yang mampu membawa negara mereka ke arah yang lebih baik dari sudut ekonomi, dasar luar negara, keselamatan, sosial dan pendidikan.

Kita tidak pernah taksub dengan pengamalan demokrasi. Yang kita tegaskan ialah, bagaimana demokrasi itu dipraktikkan dalam sesebuah negara. Malaysia wajar mengambil contoh yang baik dari segi proses pilihan raya ini dijalankan. GAMIS akan terus menyokong sebarang usaha memperkasakan amalan demokrasi di negara ini dan bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berusaha membaiki hal ini seperti menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Kita juga menolak mana-mana entiti yang terus menerus mengajak kepada politik perkauman yang sempit terutamanya sebagaimana politik yang diamalkan oleh Barisan Nasional pada hari ini.

Muhamad Azan Bin Safar
Presiden, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...