Monday, November 19, 2012

Kemenangan tidak dicapai hanya cakap mahu menang


AlhamduliLlah, Syukur kerana insya Allah kita semua dipilih oleh Allah untuk berada dalam kumpulan Islam seperti yang dinukil Allah dalam surah at-Taubah di mana kemuncaknya adalah amar makruf dan nahi mungkar iaitu politik. Politik ialah salah satu ciri manusia yang dicipta  Allah dan wajib dilaksanakan oleh kita semua. Lari dan meninggalkan politik ibarat menafikan fitrah dan sunnahtuLlah berjamaah dan bernegara.


Al-Quran menyebut tentang politik dengan berbagai-bagai perkataan – antaranya ialah khalifah, al-mulk, imam, manakala hadith menyebut dengan perkataan siasah. Semuanya membawa makna yang satu iaitu politik. Justeru, politik ini bukanlah suatu yang asing khususnya kepada kita anggota Gerakan Islam, PAS.

Peranan wanita @ muslimah dalam perjuangan Islam adalah menyeluruh sehingga mendirikan negara dan peranan ini telah berlangsung sejak awal sama ada di tahap makkiyyah  (yakni sebelum ada Negara) sehinggalah ke tahap madaniyyah (yakni setelah adanya negara).

Muslimat memainkan peranan memunculkan tokoh-tokoh besar sepanjang sejarah. Bukan sahaja Khadijah r.a, yang menjadi orang yang pertama beriman, menyumbangkan semua hartanya, menghabiskan masanya menyampaikan dakwah. Tetapi juga dapat dilihat melalui pengislaman Umar Al-Khattab & Hatim al-Ta’ieyang telah memeluk Islam hasil peranan adik perempuan mereka.Manakala Ikrimah bin Abi Jahal pula memeluk Islam hasil peranan isterinya. Begitu pula orang yang pertama syahid di dalam Islam ialah seorang muslimah. Muslimah hari ini tidak cukup sekadar upaya meratib nama mujahidah-mujahidah hebat ini, tetapi wajib bangkit turuti kecemerlangan, hikmah, fatanah hatta pengorbanan mereka.

“Kita mahu terus melihat Gerakan Muslimat PAS dalam senario politik tanahair ini tegar melolosi  mainstream yang ada. Bertindak pantas dalam budaya hikmah.Cekal berani dalam kelembutannya. Berjiwa Srikandi, berminda ‘alimah. Punya jati diri, jati emosi dan jati hati. Muslimat PAS yang tahu bagaimana untuk memastikan dirinya agar duduk sama rendah, berdiri sama tinggi bilamana bersama dengan aktivis-aktivis wanita yang lain. Muslimat PAS yang mampu meletakkan idealisma hatta aqidah perjuangannya jauh tersohor.Lantas  menjadikan mereka jama’at el muslimat yang tinggi ‘izzahnya di sisi makhluk dan juga di sisi Allah.”

Wanita adalah yang pertama beriman. Wanita adalah yang pertama syahid. Wanita adalah yang pertama berjasa. Wanita adalah yang pertama berkorban. Ikuti dan contohi Wanita Pertama ini, bukan mengejar gelaran Wanita Pertama Malaysia!

Perjanjian atau Bai’ah Aqabah kedua telah melibatkan 2 orang muslimat. Justeru itu, Islam telah mendahului Barat selama lebih daripada 1400 tahun dalam melibatkan wanita dalam politik. Berbeza dengan Barat yang baru menyambut Hari Wanita Antarabangsanya pada tahun ini (2012) untuk kali yang ke-101. Maknanya Islam juga mendahului Barat  dalam usaha dan program mengiktiraf dan memartabatkan wanita.

Maka, apakah masih mahu mengambil formula lain dalam menerapkan falsafah Hormat dan Martabat Wanita bagi negara ini? Justeru yang demikianlah, Dewan Muslimat meletakkan Pendidikan dan khususnya intipati Prinsip Hidup Beragama mendahului 7 Tuju Tumpu dalam satu gagasan yang kami angkat dan telah dilancarkan oleh DS TG Presiden pada 1 Muharram 1434 Hbersempena M52 DMPP iaitulah Agenda Berkebajikan Wanita Malaysia dalam menyahut hasrat Presiden dan Parti. Sebagai agenda awal selepas kita mengambil alih Putrajaya insya Allah.

Muslimat komited bersama PAS yang memilih demokrasi dan muwajahah silmiyyah (damai) kerana ini yang ditunjukkan oleh Allah Taala. Muslimat juga menginsafi bahawa peperangan hanya berlaku bila terpaksa. Hatta ketika berperang sekalipun diwajibkan menerima damai jika ada peluang untuk berdamai. Adapun jika musuh mahu menipu kita, maka Allah beri jaminan, cukuplah Allah sebagai pelindung. Maka bertawakkallah kepada Allah. IttaqiLlah. IttaqiLlah ini pada tiga keadaan ; perbuatan, perkataan bahkan juga perasaan. Kerana sesungguhnya…(Famay ya’mal mis qoola dzarratin khayrayyarah, wamayyakmal misqoola dzarratin sarrayyarah). Dan ini value kita, menjadikan kita sangat berbeza dengan yang lainnya. InshaAllah.

Dewan Muslimat dalam ucapan penangguhan ini mahu kita semua meberi tumpuan kepada 2 perkara: Pertama, Bersedia Daripada Semua Segi Untuk Menghadapi PRU13; dan Kedua Persiapan Mengisi Kemenangan.

Bersedia Menghadapi PRU13

  • Peka kepada permasalahan masyarakat dan rakyat
  • Kebajikan sebagai asas untuk berbuat pahala
  • Merakyatkan semua informasi berkebajikan vs  kebobrokan BN
  • Pendekatan psikologi ceria dan bijaksana.

Mengisi Kemenangan

  • Menggerakkan gagasan pemikiran pemerintah
  • Partisipasi dan merencana agenda untuk Malaysia selari dengan Islam
  • Yakin kepada kepimpinan yang ada ; dan
  • Hebatkan solat dan doa.

Beberapa hari ini kita telah pun mendengar ramai dari kalangan kita mahukan PAS menjadi parti utama dalam Pakatan Rakyat….


Rasional yang paling penting untuk kita fahami ialah ;bila kita kata kita mahu menang dan melangkah ke Putrajaya…maka bekerjalah untuk mencapai hasrat itu. Kemenangan itu tidak akan dicapai dengan hanya bercakap mahu menang. Tidak juga melalui cara cabar mencabar atau desak mendesak agar kita diangkat menjadi Ketua. Demikian juga, bila kita kata kita mahu PAS ini menjadi tonggak dan tulang belakang PR, maka bekerjalah secemerlang yang boleh sehingga kita layak mencapai hasrat itu. Dan, bila kita mahu pimpinan kita khususnya DS TG Presiden yang kita kasihi diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-7 misalnya; maka wajib kita berusaha sehabis mungkin untuk memenangkan semua kerusi Parlimen yang PAS bertanding, atau sekurang-kurangnya 60 kerusi seperti yang disebut oleh Naib Presiden, DP Hj Husam Musa.


Apakah ini mustahil? Insya Allah tiada yang mustahil. Marilah kita bekerja secara ITQAN dan IHSAN. Kelak inshaAllah Allah, Rasul dan orang-orang beriman akan menilai serta membuat perhitungan terhadap usaha kita. Jangan kelak kita tergolong sepertimana yang disebutkan dalam al Quran surah as soff : “amat besar kemurkaan Allah, bila kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat”.


Lihat wajah-wajah pimpinan kita di hadapan pentas ini. Lihat wajah DS TG Presiden kita.

Berilah muka kepada pimpinan kita, agar kelak mereka memimpin Negara dengan kekuatan gerak vkerja jentera parti kita (inshaAllah) yang menatijahkan kemenangan dan bukannya atas ihsan rakan-rakan Pakatan.


Ucapan Penangguhan Dewan Muslimat PAS Pusat Sempena Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-58.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...