BALA tentera Ahzab yang telah diusir dan dimusnahkan oleh taufan yang sangat luar biasa ganasnya tidak diketahui oleh tentera Islam.
Serangan taufan yang turut membawa hujan lebat dan kehadiran para malaikat yang berjaya menakut-nakutkan pihak musuh hanya berlaku di sekitar lokasi pihak musuh.
Jadi pada keesokan harinya tentera Islam sangat terkejut apabila melihat lokasi perkhemahan pihak musuh kosong. Tidak ada apa yang tinggal selain tali-tali, khemah-khemah yang koyak rabak hanya tinggal cebisan serta pelbagai barang-barang bekalan musuh yang bersepah-sepah. Tidak ada seorang pun tentera musuh yang tinggal.
Puas dicari di segenap ceruk dan kawasan namun tidak seorang pun tentera musuh ditemui.
Demi menyelamatkan nyawa daripada taufan tersebut, masing-masing telah bertempiaran lari.
Namun bagi tentera Islam mereka benar-benar kehairanan bagaimana bala tentera musuh yang besar jumlahnya itu hilang sekelip mata. Siapakah yang telah menghalau mereka?
Bagaimana dengan pakatan terbaru membabitkan pengkhianatan pihak Yahudi Bani Quraizah yang merancang untuk melancarkan serangan besar-besaran terhadap Islam?
Namun akhirnya mereka begitu gembira dan bersyukur kerana dengan bantuan Allah jua yang mengirimkan angin ribut dan tentera para malaikat akhirnya Islam beroleh kemenangan.
Namun jangan disifatkan itu sebagai satu kemenangan yang percuma kerana tentera Islam telah berusaha dan melakukan juga pelbagai persiapan untuk menghadapi perang walaupun di saat-saat akhir.
Ini terutamanya sanggup bersusah payah menggali parit besar dan panjang hampir mengelilingi Kota Madinah yang tentunya dianggap mustahil di saat tentera musuh semakin hampir untuk menawan kota tersebut.
Mereka berusaha dan kemudiannya bertawakal lalu Allah kurniakan bantuan yang sewajarnya atas apa yang telah mereka usahakan.
Kegembiraan itu membolehkan mereka kemudiannya pulang semula ke kediaman masing-masing dan Rasulullah sendiri juga kembali ke rumah untuk merehatkan diri.
Namun sebaik sahaja baginda meletakkan kesemua senjata dan lain-lain peralatan perang, baginda didatangi seseorang yang tidak pun memberikan salam sebelum masuk ke rumah baginda.
Perangi Bani Quraizah
Belum sempat baginda dapat merehatkan diri, melepaskan penat dan lelah, tiba-tiba baginda mendapat arahan daripada kehadiran seorang lelaki, tetamu yang tidak diundang itu.
Dikatakan lelaki itu sebenarnya malaikat Jibrail yang datang menyerupai seorang lelaki yang berserban putih, menunggang kuda putih dalam keadaan mukanya kotor berdebu.
Tanpa membuang masa, lelaki itu bertanya kepada Rasulullah: "Adakah kamu telah meletak dan menyimpan semua senjata-senjata kamu wahai Rasulullah?"
"Benar, perang telah selesai, semuanya telah saya simpan," jawab Rasulullah.
Lalu Jibrail pun berkata dengan tegas: "Demi Allah, kami para malaikat belum lagi meletakkan peralatan senjata perang kami dan masih lagi tidak kembali dari alam asal kami kerana masih terdapat lagi saki baki musuh yang perlu kita perangi bersama.
"Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu wahai Muhamad supaya berangkat ke perkampungan kaum Yahudi Bani Quraizah atas pengkhianatan yang mereka lakukan terhadap segala perjanjian dan sanggup berpihak kepada pihak musuh."
Mendengarkan itu, tanpa ada banyak pilihan walaupun baginda menyedari kebanyakan anggota tentera Islam baru sahaja pulang dan ingin sekali untuk berehat namun baginda meminta Bilal bin Rabah memanggil mereka kembali melaksanakan satu lagi tanggungjawab yang belum selesai.
Perhitungan terhadap pengkhianatan yang dilakukan oleh kaum Yahudi Bani Quraizah.
Lalu 3,000 tentera Islam dikumpulkan kembali dengan bendera perang yang belum sempat dirungkai daripada talinya diserahkan kembali kepada Ali bin Abi Talib.
Kepimpinan di Madinah baginda serahkan kepada Abdullah bin Ummi Maktum. Baginda terus mengetuai bala tentera menuju ke perkampungan Yahudi Bani Quraizah dengan menaiki seekor unta yang bernama Jafur.
Walaupun tidak sempat berehat, namun seluruh tentera Islam tetap berkobar-kobar dalam langkah yang penuh semangat untuk mengajar penduduk Yahudi yang khianat memerangi Islam. Sedangkan mereka terikat dengan perjanjian yang melarang keras mereka dari berbuat demikian.
Tentera Islam akhirnya sampai ke perkampungan Yahudi Bani Quraizah yang jaraknya lebih kurang 15 kilometer dari pusat pentadbiran di tengah-tengah Kota Madinah.
Kedatangan tentera Islam itu tidak diketahui oleh penduduk kaum Yahudi. Apabila tiba, Ali bin Abi Talib diperintah melakukan siasatan mengenai keadaan dalam perkampungan itu.
Dengan melakukan sedikit penyamaran, Ali masuk ke dalam perkampungan itu dan beliau mendengar kalangan penduduk Yahudi itu sedang mencaci maki baginda Rasulullah yang diapi-apikan oleh Huyyay bin Akhtab.
Jadi, benarlah penduduk Yahudi di situ melanggar perjanjian dengan Rasulullah sebagaimana yang dilakukan oleh puak-puak Yahudi sebelum ini.
Walaupun menyedari bahawa gabungan tentera Ahzab lain akhirnya kalah dan jauh sekali dapat menawan Kota Madinah, namun mereka tetap meneruskan niat menentang Rasulullah dan pengikut Islam yang lain.
Ini kerana mereka sedar, sekali mereka khianat tidak mungkin mereka akan diterima kembali dan menjalinkan sebuah perjanjian damai yang baru.
Ali pun melaporkan hasil risikan beliau itu kepada baginda. Ini membuatkan baginda terpaksa juga berhadapan kaum Yahudi tersebut yang boleh bertukar menjadi satu ancaman yang besar jika ditangani sedari awal-awal lagi.
Lalu baginda memerintahkan supaya perkampungan Yahudi itu dikepung dan disekat kebebasan dan keluar masuk penduduk perkampungan itu.
Baginda juga memerintahkan seorang sahabat Usaid bin Hudair memberitahu kepada para penduduk Yahudi itu: "Wahai musuh-musuh Allah, kamu tidak akan boleh keluar daripada benteng-benteng kamu sehingga kamu semua akan mati kelaparan."
Dikatakan kepungan itu berlangsung selama hampir 25 hari dan selama itu hanya berlaku serangan-serangan kecil sahaja, saling memanah dan membaling batu antara satu sama lain.
Kaum Yahudi itu sama sekali tidak berani keluar dan memerangi tentera Islam. Mereka cuba bertahan selama mana yang mampu. Mereka juga mengharapkan ada mana-mana pihak yang datang membantu dan membebaskan mereka daripada cengkaman pihak tentera Islam.
Kebetulan Ketua Yahudi Bani Nadhir, Huyyay bin Akhtab tidak kembali ke Kaibar selepas kalah dalam Peperangan Ahzab. Dia bersetuju untuk terus bersama penduduk Yahudi Bani Quraizah untuk membantu mereka menghadapi serangan pihak Islam.
Malah dia sempat menyampaikan pesanan kepada kaumnya, Yahudi Bani Nadhir untuk segera menghantar bantuan tentera kepada penduduk Yahudi Bani Quraizah.
Namun bantuan yang dinanti-nanti, tidak kunjung tiba. Malah kepungan itu menyebabkan penduduk Yahudi semakin tertekan dan menghadapi pelbagai kesulitan dan kepayahan.
Hendak memerangi tentera Islam adalah mustahil kerana mereka menyedari tidak mempunyai kekuatan yang cukup untuk melakukan serangan.
Sehinggalah pada suatu hari, ketua mereka Kaab bin Asad terpaksa berkira-kira dengan mengemukakan tiga cadangan bagi merungkaikan kemelut dan konflik yang sedang menekan mereka.