Friday, September 7, 2012

Menteri patut pertahan hak pelajar merayu


KUALA LUMPUR: Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sepatutnya mempertahankan hak merayu bagi pelajar yang terlibat dalam insiden tunjuk punggung pada malam ambang merdeka baru-baru ini.


Khaled Nordin, terdahulu percaya keputusan pengurusan sebuah kolej swasta di Cheras memberhentikan seorang pelajarnya berikutan insiden menunjuk punggung ke atas gambar pemimpin negara merupakan pertimbangan yang wajar.

Namun, Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat PKR Chua Yee Ling berpendirian bahawa kenyataan Khaled Nordin langsung tidak professional dan bersikap tidak tanggungjawab atas masa depan seorang anak muda.

"Saya amat kecewa dengan kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, pada halnya kes ini masih dalam siasatan polis, tindakan pecat ini tidak berlaku adil kepada pelajar berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor berkata, tindakan Khaled itu secara tidak langsung menghantar mesej bahawa pelajar terbabit adalah serba bersalah, tetapi anak muda itu langsung tidak diberi peluang membela diri.  

Sekurang-kurangnya, kata beliau, Menteri  Pengajian Tinggi patut mempertahankan hak merayu pelajar tersebut dan bukannya memuji cara pihak kolej yang memberhentikan pelajar itu tanpa memberi peluang langsung kepada budak berkenaan.

“Walaupun saya tidak bersetuju dengan cara tunjuk punggung pelajar berkenaan, seperti saya tidak bersetuju bekas tentera yang melakukan tarian punggung di depan rumah Datuk Ambiga, tetapi saya tidak boleh menafikan hak merayu pelajar berkenaan untuk menyambungkan  pelajarannya," katanya.

Tegas Chua,  dasar pendidikan sepatutnya membimbing dan bukannya mengguna cara menakut-nakutkan.

Tambahan pula katanya,  tindakan polis yang hanya bertindak terhadap pelajar yang memijak gambar Perdana Menteri tetapi membiarkan insiden sama terhadap pemimpin pembangkang juga sama sekali dipertikaikan.

Justeru itu, Chua mendesak Khaled Nordin menarik balik kenyataan beliau dan sama-sama mempertahankan hak rayu pelajar terbabit.

Lembaga Disiplin dan Lembaga Akademik kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics memutuskan untuk memberhentikan seorang pelajarnya yang didapati terbabit dalam perbuatan menghina pemimpin negara baru-baru ini.

Pelajar terbabit adalah antara 11 individu yang dikenal pasti polis dalam insiden memijak gambar Perdana Menteri dan isteri serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya pada Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka, pada malam 30 Ogos lepas.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...