Saturday, September 8, 2012

Syaitan Dan Politik Malaysia


Pada masa istilah "politik baharu" tidak lekang dari bibir ahli-ahli politik Pakatan Rakyat, satu hal yang memperlihatkan politik yang tidak cerdik dan murahan berlaku dan mencetuskan debat yang besar, lebih besar daripada yang sepatutnya.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu tulisan yang juga disebut dalam satu kenyataan kepada wartawan memetik simpulan bahasa dari bahasa Inggeris, "Better the devil you know than the devil you don't," tetapi mengubahdevil yang kedua kepada angel (malaikat), mungkin sebagai sindiran kepada tokoh-tokoh tertentu parti lawannya.

Kedua-dua kenyataan itu - tulisan di blog dan kenyataan kepada wartawan - dibuat dalam bahasa Inggeris.

Kenyataan Mahathir itu segera mendapat respons daripada pemimpin parti lawan, pertama daripadaDatuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang mengulas penggunaan istilah syaitan yang digunakan Mahathir sebagai bertentangan dengan agama.

Dakwaan bahawa kenyataan itu boleh mengelirukan mungkin ada benarnya, kepada mereka yang tidak berfikir panjang dan hanya menerima apa yang didengari, tetapi kenyataan daripada bekas menteri besar Perak - yang anaknya terlibat menentang dasar pendidikan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris melalui proses mahkamah - itu mengabaikan satu fakta mudah, iaitu simpulan bahasa dalam bahasa Inggeris itu tidak perlu diterjemah secara harfiah.

Lebih malang lagi, salah faham ini berpanjangan hingga menjadi satu isu besar politik nasional ketika suasana Syawal agak masih baru bermula, sebahagian besarnya diulas tanpa merujuk kepada asal ekspresi itu dalam bahasa Inggeris, mendedahkan satu kelemahan yang besar di pihak PR kerana terlalu cepat mahu mempolitikkan kenyataan tersebut yang merupakan satu simpulan bahasa yang agak mudah dan dikenali.

Sekiranya ada satu kesalahan di pihak Mahathir ialah penggunaan ekspresi daripada bahasa Inggeris dalam konteks politik Malaysia, dan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rujukan utama.

Satu isu yang boleh diberi perhatian dalam isu ini ialah konteks sejarah dan budaya sesuatu bahasa itu, yang dalam beberapa kes tidak dapat dipakai dalam konteks masyarakat yang asing kepada bahasa tersebut.

Sekiranya penggunaan istilah syaitan itu menimbulkan masalah, banyak lagi ekspresi lain seperti "underdog" yang sangat biasa digunakan perlu dipersoalkan juga.

Ada beberapa ekspresi dalam bahasa Inggeris hakikatnya agak tidak kena atau memang tidak sesuai digunakan dalam konteks masyarakat Melayu Muslim negara ini ekoran etimologi atau asal usulnya, seperti "Speak of the devil," "Keep your fingers crossed," yang mempunyai kaitan agama.

Bahasa Inggeris juga, hasil pengalaamn sejarahnya sendiri, mempunyai banyak ekspresi dan simpulan bahasa mengandungi istilah "devil."

Isu ini kini telah menjadi isu politik kepartian, mencetuskan banyak komen dan ulasan murahan semata0mata untuk memalukan pihak lawan, tanpa membawa sebarang manfaat.

Turut menarik perhatian dalam isu ini ialah tindakan seorang ilmuan agama dari Umno, Fathul Bahari Mat Jahaya yang mempertahankan kenyataan Mahathir itu berdasarkan hakikat bahawa simpulan bahasa itu tidak boleh dibaca secara literal.

Dalam hal ini, mungkin perlu ilmuan muda yang agak berpengaruh itu menegur juga seorang penceramah yang mengecam hebat tokoh agama zaman lalu kerana menggunakan ayat-ayat puitik dalam menghayati agama.

Sekiranya simpulan bahasa daripada bahasa Inggeris boleh dipertahankan, tentu ekspresi berasal daripada tokoh agama Islam sendiri juga wajar dipertahankan dan tidak dikecam sewenang-wenangnya. 

Penceramah ini - yang mungkin sealiran dengan ilmuan muda Umno tersebut - jelas kelihatan lemah penguasaan bahasanya telah mengambil secara salah satu retorik yang kini turut popular sebagai sebuah lagu dan mengecamnya sebagai satu kenyataan tidak mahu masuk syurga.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...