Wednesday, August 29, 2012

LHDN Beku 1,389 akaun milik Syarikat dan Individu tahun lepas

KUALA LUMPUR- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah membekukan sebanyak 1,389 akaun bank milik syarikat dan individu yang dipercayai melakukan atau bersuhabat melakukan jenayah percukaian berat sepanjang tahun lepas.
   
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Tan Sri Mohd Shukor Mahfar berkata tiga jenis kesalahan ditakrifkan dalam kategori jenayah percukaian berat iaitu kegagalan menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP), mengemukakan penyata yang salah dan mengelak daripada dikenakan cukai.
   
Katanya pembayar yang melakukan jenayah percukaian berat boleh dikenakan denda maksimum RM5 juta atau maksimum penjara lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
   
Kesalahan jenayah percukaian berat dan hukuman tersebut termaktub dalam Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
   
Beliau meningatkan pembayar cukai supaya tidak mengambil mudah urusan percukaian dan menegaskan bahawa pihaknya boleh membeku, menyita atau melucuthak  harta mereka yang disyaki bersalah semasa siasatan dijalankan.
   
Pembayar cukai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi LHDN di talian 1-300-88-3010 atau e-mel di alamat callcentre@hasil.gov.my. -Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...