Friday, September 7, 2012

Penduduk Cina resah replika keris di tiang lampu


TEMERLOH: Penduduk berbangsa Cina di Mentakab dekat sini, merasa resah dan tersinggung dengan tindakan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) yang meletakkan replika keris di tiang-tiang lampu sepanjang jalan utama dan kawasan perumahan di bandar ini sejak dua bulan lalu.


Bagi mereka, pihak berkuasa tempatan yang mempunyai ahli majlis daripada pelbagai kaum sepatutnya boleh menilai sama ada sesuatu yang hendak dilakukan sensitif kepada sesuatu kaum ataupun sebaliknya bagi menjayakan semangat satu Malaysia.

(Gambar: Replika keris yang digantung sepanjang jalan di Mentakab, menakutkan penduduk Cina.)

Seorang penduduk Tan Siew Leong, 35, ketika ditemui berkata benda yang tajam dalam kepercayaan orang Cina atau Feng Shui, adalah tidak baik apa lagi dihalakan tepat ke arah rumah penduduk.

“Mungkin dalam tradisi orang Melayu perkara seperti ini tidak mengapa tetapi bagi orang Cina, terutama yang sudah berusia, itu menimbulkan persepsi yang negatif, tidak baik malah sebagai ancaman.

“Malaysia ini negara pelbagai kaum sepatutnya pihak kerajaan tempatan faham budaya bangsa-bangsa yang ada di sini,” jelasnya.

Tambahnya, dalam kepercayaan orang-orang Cina benda tajam yang terarah ke diri sendiri (atau tempat kediaman) boleh menimbulkan ketakutan kerana mempunyai bisa, mencelakakan dan akan terus mempengaruhi pada kejiwaan seseorang.

Bandar Mentakab mempunyai kira-kira 70 peratus penghuni berbangsa Cina yang tinggal di taman-taman perumahan. Wakil rakyat kawasan berkenaan ialah dari MCA dan BN.

Seorang penduduk dari Taman Mentakab, Chong Ting Mei, 73, mengakui beliau bersama 40 keluarga di situ merasa amat tidak selesa apabila sesuatu benda tajam dihalakan ke rumah atau kepada mereka kerana membawa maksud tidak baik.

Menurutnya, penduduk telah membuat aduan kepada pemimpin tempatan dan MPT, malangnya masih tiada respons daripada pihak berkenaan.

“Perkara ini sangat sensitif kepada kami yang berketurunan Cina. Tujuan diletakkan replika keris pada tiang lampu jalan itu masih belum terjawab.

“Jika tidak ada sebab yang penting, kami gesa supaya replika keris itu diturunkan segera,” katanya.

Sementara itu, ketua DAP Mentakab Lai Chee Ming turut mempersoalkan tujuan MPT memasang replika keris pada lampu jalan di taman perumahan berkenaan.

Katanya, pihaknya sudah mendapatkan tandatangan penghuni Cina di bandar Mentakab untuk diserahkan kepada MPT dalam masa terdekat.

Menurutnya, pihaknya akan menyediakan memorandum bantahan kepada MPT mewakili penduduk bagi menangani isu tersebut secepat mungkin.

“Kami juga sependapat dengan penduduk supaya MPT tukar replika keris itu dengan sesuatu yang lain dan tidak tajam jika mereka berhasrat mengekalkan hiasan pada tiang lampu berkenaan.

“Yang peliknya wakil MCA (berbangsa Cina) juga ada dalam mesyuarat majlis daerah... jadi kenapa tidak dibantah perkara yang menakutkan penduduk itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) PAS Mentakab Norazmi Abdul Majid, turut mengecam tindakan menggantung keris itu.

Katanya, ada pelbagai andaian dengan menggantung keris tidak bersarung seperti lambang Umno itu seolah-olah “mengugut” penduduk.

Tambahnya jika benar, nampaknya Umno masih tidak serik-serik dengan isu keris ini di mana BN kehilangan undi Cina pada pilihan raya umum yang lalu kerana dikaitkan Ketua Pemuda parti itu mencabut dan mencium keris dalam perhinpunan agungnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...