Friday, February 1, 2013

Pengguguran Nasya Tepat Pada Masanya



Isu Nasha tidak rugikan parti

Tindakan Majlis Syura menggugurkan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dilihat tidak merugikan parti walaupun ada pemimpin bimbang dengan keputusan itu, sebaliknya dilihat usaha terbaik untuk mengelak tindak tanduknya diikuti pemimpin Pas yang lain.

Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun berkata, tindakan tersebut juga dianggap tepat pada masanya, melihatkan kepada banyak tindakan Nasharudin yang dianggap mengguris hati pemimpin parti itu.

Katanya, beliau melihat keputusan ini tidak akan menjejaskan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi, memandangkan perbincangan sudah dibuat berhubung kesan tindakan ke atas pemimpin tersebut.

Menurutnya, Majlis Syura Ulama telah mengambil kira perkara itu, kerana jika dibiarkan lebih banyak perkara bakal dilakukan Nasharudin seperti mengiringi kepimpinan parti pembangkang ke luar negara tanpa memaklumkan kepada kepimpinan parti.

“Sepatutnya sudah lama beliau dipecat disebabkan tindakan yang dilakukannya selama ini mampu merugikan parti.

“Sebagai contohnya, kita tidak mengalang beliau untuk mengiringi pemimpin parti lain ke luar negara, tetapi beliau perlu terlebih dahulu memaklumkan perkara itu kepada kepimpinan parti untuk mengelak timbulnya fitnah.

“Tindakan itu hanya disedari pemimpin parti Pas, setelah melihatnya gambar beliau bersama pemimpin berkenaan,” katanya, semalam.

Abdul Fatah berkata, Nasarudin agak rapat dengan pemimpin Umno dan itu dianggap bahaya kerana bimbang segala ‘mesyuarat rahsia’ akan dibocorkan kepada mereka.

Menurutnya, Majlis Syura tidak beremosi dalam membuat keputusan, malah dilaksanakan secara matang bagi mengelak dianggap membuat keputusan mengikut perasaan.

Ketika ditanya Sinar Harian kemungkinan Nasharudin akan menukar parti berikutan keputusan tersebut Abdul Fatah berkata, itu tidak mustahil kerana baginya segala kemungkinan boleh terjadi terutama menjelang musim pilihan raya.

Menurutnya, kemungkinan tersebut bukan akan berlaku terhadap Nasharudin sahaja, sebaliknya pemimpin yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti kebiasaannya menggunakan waktu sebegini untuk menunjukkan perasaan sebenar mereka.

“Pada ketika ini mereka ‘berharga mahal’ semuanya bernilai, apatah lagi jika seseorang itu berjawatan tinggi dalam parti.

“Ketika ini tidak mustahil mereka akan lompat parti kerana akan diterima parti pembangkang, termasuk Nasharudin sudah semestinya Umno akan menerimanya jika berbuat demikian,” katanya.

Abdul Fatah berkata, Nasharudin akan diterima Umno kerana dia tidak lantang bersuara seperti Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang dianggapnya sukar diterima Umno berikutan kelantangan beliau.

Semalam, Setiausaha Majlis Syura, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh mengesahkan keputusan pengguguran Nasharudin dari Majlis Syura dan memaklumkan keputusan itu diambil pada mesyuarat 13 Januari lalu yang dipengerusikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...