Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata, banyak tanah Perak diseleweng kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Zambry Kadir didedahkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi isu tersebut gagal dijawab.
“Bila Umno BN gagal jawab isu, mereka timbulkan pula fitnah kononnya Tuan Guru Nik Aziz (Nik Mat) merasuah pemimpin DAP Perak untuk berikan saya jawatan Menteri Besar dengan memberikan tanah Kelantan.
“Fitnah ini jelas menghina kedudukan Sultan Perak yang berkuasa mutlak melantik Menteri Besar dan pemimpin Umno BN yang celupar fitnah dan mereka patut didakwa segera,” kata Adun Pasir Panjang itu di hadapan lebih 5,000 hadirin.
Pelbagai bangsa termasuk Orang Asal dari Chenderiang dan Kampung Batu Berangkai, Kampar hadir pada Ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Kampung Perak, Temoh Stesen, Tapah, malam kelmarin.
Nizar berkata, himpunan rakyat Tapah yang dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas merupakan mesej sokongan kepada Ketua Umum KEADILAN itu bahawa rakyat mahukan perubahan.
Turut hadir, Pengerusi KEADILAN Negeri, Dr Muhammad Nur Manuty; Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye; Adun Hutan Melintang, S Kesavan; Adun Sungkai, A Sivanesan; Adun Keranji, Chen Fook Chye dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Mustafa Kamil Ayub.
Mengulas suasana aman ketika Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) 12 Januari lalu, Nizar berkata, himpunan boleh aman jika tiada provokasi dari Umno BN.
“Polis memberi kerjasama hari itu. Rusuhan yang tercetus sebelum ini semua berpunca dari Umno BN yang gemar melihat keganasan untuk memastikan mereka terus berkuasa,” ujar bekas MB Perak yang dirampas jawatannya itu secara haram oleh BN.