Dalil-dalil tentang Aurat Wanita
(i) Batasan aurat wanita
Aurat wanita adalah seluruh anggota tubuhnya kecuali wajah dan dua
telapak tangannya. Leher dan rambutnya adalah aurat di hadapan lelaki
ajnabi (bukan mahram) walaupun sehelai. Pendek kata, dari hujung rambut
sampai hujung kaki kecuali wajah dan dua telapak tangan adalah aurat
yang wajib ditutup. Hal ini berlandaskan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,
“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak darinya.” [TMQ An-Nur (24):31].
Yang di maksud “wa laa yubdiina ziinatahunnaa” (janganlah mereka
menampakkan perhiasannya), adalah "wa laa yubdiina mahalla
ziinatahinnaa", maksudnya janganlah mereka menampakkan tempat-tempat
(anggota tubuh) yang di situ dikenakan perhiasan. [Lihat Abu Bakar
Al-Jashshash, Ahkamul Qur`an, Juz III hal.316].
Selanjutnya,
kalimah “illa maa zhahara minhaa” [kecuali yang (biasa) nampak darinya],
ini bermaksud, ada anggota tubuh yang boleh dinampakkan iaitu wajah dan
kedua telapak tangan. Demikianlah pendapat sebahagian sahabat, seperti
Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan juga Aisyah [Al-Albani, 2001:66].
Ibnu Jarir Ath-Thabari (wafat 310H) menjelaskan dalam kitab tafsirnya,
Jami Al-Bayan fi Tafsir Al-Qur`an Juz XVIII ms 84, mengenai apa yang di
maksud “kecuali yang (biasa) nampak darinya (illaa maa zhahara minha)”,
katanya, pendapat yang paling mendekati kebenaran adalah yang mengatakan
bahawa, yang dimaksudkan (dalam ayat di atas) adalah wajah dan dua
telapak tangan.
Pendapat yang sama dinyatakan Imam Al-Qurthubi
dalam kitab tafsirnya Al-Jamia li Ahkam Al-Qur’an, Juz XII hal. 229
[Al-Albani, 2001:50 & 57]. Jadi, apa yang biasa nampak darinya
adalah wajah dan dua telapak tangan sebab kedua anggota tubuh inilah
yang biasa nampak dari kalangan Muslimah di hadapan Nabi Sallalahu
alaihi wa Sallam sedangkan baginda mendiamkannya. Kedua anggota tubuh
ini pula yang nampak dalam ibadah-ibadah seperti haji dan solat dan
biasa terlihat di masa Rasulullah iaitu di masa masih turunnya ayat Al
Qur`an [An-Nabhani, 1990:45].
Dalil lain yang menunjukkan
bahawasanya seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan dua
telapak tangan ialah sabda Rasulullah kepada Asma’ binti Abu Bakar,
“Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh
(haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan
ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.” [HR Abu Dawud]
(ii) Aurat Wanita dalam Hayaatul ‘Am (Kehidupan Umum/Public Life)
Yang dimaksudkan dengan hayaatul ‘am adalah keadaan di mana wanita itu
berada di luar dari kawasan rumahnya di mana mereka bercampur dengan
masyarakat. Pakaian wanita dalam kehidupan umum iaitu di luar rumahnya
terdiri dari dua jenis iaitu
(a) libas asfal (baju bawah) yang disebut dengan jilbab, dan
(b) libas ‘ala (baju atas) iaitu khimar (tudung).
Dengan dua pakaian inilah seseorang wanita itu boleh berada dalam
kehidupan umum seperti di jalanan, di pasar-pasar, pasar raya, kampus,
taman-taman, dewan orang ramai dan seumpamanya. Dalil wajib memakai
jilbab bagi wanita adalah berdasarkan firman Allah,
“Wahai
Nabi! katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan
isteri-isteri orang Mukmin, ‘Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya.”
[TMQ Al-Ahzab (33):59].
Oleh sebab Al-Quran adalah berbahasa
Arab, dan perkataan “jilbab” itu adalah perkataan Arab, maka kita
hendaklah memahami apakah yang dimaksudkan “jilbab” di dalam bahasa
Arab. Dengan kata lain, kita hendaklah memahami dan mengikuti apakah
yang orang Arab faham bila disebut jilbab. Maka inilah pakaian yang
diperintahkan oleh Allah kepada perempuan. Di samping itu, perincian
tentang pakaian ini telah pun dijelaskan di dalam banyak hadis sahih
yang wajib diikuti oleh setiap orang.
Jadi, apakah makna jilbab
itu? Selain dari melihat sendiri kepada nas-nas hadis tentang pakaian
yang dipakai Muslimah semasa zaman Rasulullah, kita juga boleh merujuk
kepada banyak kamus Arab untuk mengetahui makna “jilbab”. Dalam kitab
Al-Mu’jam Al-Wasith karya Dr. Ibrahim Anis [Kaherah: Darul Maarif ms
128], jilbab diertikan sebagai ats-tsaubul musytamil ala al-jasadi
kullihi (pakaian yang menutupi seluruh tubuh), atau ma fauqa ats-tsiyab
kal milhafah (pakaian luar yang dikenakan di atas pakaian rumah, seperti
milhafah (seperti jubah), atau al-mula’ah asy-tamilu biha al-mar’ah
(pakaian luar yang digunakan untuk menutupi seluruh tubuh wanita).
Berdasarkan pengertian ini, jelaslah bahawa yang diwajibkan ke atas
wanita adalah mengenakan pakaian yang satu (sekeping) yang lurus dari
atas hinggalah ke bawah, yakni hingga ke mata kaki. Maksud
milhafah/mula’ah (Arab) adalah pakaian yang dikenakan sebagai pakaian
luar [di dalamnya masih ada pakaian dalam (pakaian rumah) atau pakaian
sehari-hari tetapi bukan hanya coli dan seluar dalam] lalu diulurkan ke
bawah hingga menutupi kedua mata kakinya. Untuk pakaian atas, wanita
disyariatkan/diwajibkan memakai “khimar” iaitu tudung atau apa sahaja
bahan/kain yang serupa dengannya yang berfungsi menutupi seluruh kepala,
leher, dan lubang leher baju di dada.
Dalil mengenai wajibnya mengenakan pakaian bahagian atas (khimar/tudung) adalah Firman Allah,
“Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka” [TMQ An-Nur (24):31].
Pakaian jenis ini (jilbab dan khimar) wajib dipakai oleh seorang
Muslimah (yang telah baligh) apabila hendak keluar menuju ke pasar-pasar
atau berjalan melalui jalanan umum. Setelah memakai kedua jenis pakaian
ini (jilbab dan khimar) maka barulah dibolehkan baginya keluar dari
rumahnya menuju ke kehidupan am tanpa sebarang dosa. Jika tidak, maka
dia tidak boleh (haram) keluar dari rumah kerana perintah yang
menyangkut kedua jenis pakaian ini datang dalam bentuk yang umum, dan
tetap dalam keumumannya dalam semua keadaan. Mana-mana wanita yang telah
baligh dan melanggar ketetapan Allah ini, maka berdosalah mereka dan
layak mendapat seksa Allah di akhirat nanti.
(iii) Pakaian wanita dalam Hayatul Khassah (Kehidupan Khusus/private life)
Yang dimaksudkan dengan hayatul khassah adalah keadaan di mana
seseorang wanita itu menjalani kehidupannya di rumahnya bersama dengan
anggota keluarganya yang lain.
Adapun cara seorang Muslimah
menutupi auratnya di hadapan lelaki ajnabi dalam kehidupan khusus
seperti di rumahnya atau di dalam kenderaan peribadi, syarak tidak
menentukan bentuk/fesyen pakaian tertentu tetapi membiarkan secara
mutlak tanpa menentukannya dan cukup dengan mencantumkan lafaz dalam
firman-Nya,
“wa laa yubdiina” (“dan janganlah mereka menampakkan”) [Surah An-Nur:31]
atau sabda Nabi,
“lam yashluh an yura minha” (“tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya”) [HR Abu Dawud].
Jadi, pakaian yang menutupi seluruh auratnya kecuali wajah dan telapak
tangan dianggap sudah menutupi, walau bagaimana pun bentuknya. Tetapi ia
adalah tertakluk kepada hukum tabarruj (sila lihat perbincangan di
bawah).
Berdasarkan hal ini maka setiap bentuk dan jenis
pakaian yang dapat menutupi aurat iaitu yang tidak menampakkan aurat
dianggap sebagai penutup bagi aurat secara syar'i, tanpa melihat lagi
bentuk, jenis, atau fesyennya. Namun demikian syara' telah mensyaratkan
dalam berpakaian agar pakaian yang dikenakan dapat menutupi kulit. Jadi
pakaian wajib dapat menutupi kulit sehingga warna kulitnya tidak
diketahui. Jika tidak demikian, maka tidak dikatakan menutup aurat. Oleh
kerana itu apabila kain penutup itu tipis/transparent sehingga nampak
warna kulitnya dan dapat diketahui sama ada kulitnya berwarna merah atau
coklat, maka kain penutup seperti ini tidak boleh dijadikan penutup
aurat dan haram hukum memakainya.
(iv) Wajib memakai tsaub, di samping jilbab
Tsaub ialah ‘pakaian di rumah’ iaitu pakaian yang dipakai oleh wanita
di hadapan mahramnya semasa berada dalam hayatul khassah (kehidupan
khusus) tatkala tiada lelaki ajnabi (lelaki asing) di dalamnya. Dalil
mengapa wajib mengenakan tsaub di dalam jilbab ialah berdasarkan firman
Allah,
“Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari
haidh dan mengandung) yang tiada ingin berkahwin (lagi) tiadalah atas
mereka dosa menanggalkan pakaian (tsiyab) mereka, dengan tidak bertujuan
mendedahkan perhiasan mereka” [TMQ An-Nur (24):60].
Ayat ini
membenarkan wanita yang telah putus haid dan tiada keinginan berkahwin
menanggalkan atau melepaskan pakaian (tsaub). Ini bermakna, jika tiada
‘pakaian’ di dalam jilbab, bermakna wanita yang telah putus haid
berkenaan akan berbogel, walhal berbogel tidak dibolehkan. Justeru,
tsaub adalah ‘pakaian dalam’ (pakaian rumah) yang wajib dipakai oleh
Muslimah di samping jilbab (pakaian luar) di dalam hayatul am atau di
dalam hayatul khas tatkala ada lelaki ajnabi. [Rujuk Imam Muhammad Abu
Zahrah dalam kitab Usulul Fiqh:164-147, Abdul Wahab Khallaf kitab Ilmu
Usul Fiqh:143-153 dan Sheikh Taqiuddin an-Nabhani dalam kitab
As-Syahsiyyah Al-Islamiyyah Juz. 3:178-179].
Larangan Bertabarruj
Adapun dalil tentang larangan bertabarruj adalah juga dari Surah An-Nur (24):60 iaitu Firman Allah,
“Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti [dari haid dan
mengandung] yang tiada ingin kawin [lagi], tiadalah atas mereka dosa
menanggalkan pakaian mereka dengan tidak [bermaksud] menampakkan
perhiasan (tabaruj), dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka.
Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. [TMQ An Nur(24):60]
Mafhum muwafaqah (yang disepakati) dari ayat ini adalah jika perempuan
tua yang telah putus haid haram menampakkan perhiasan iaitu bertabarruj,
apatah lagi perempuan yang masih muda, belum putus haid dan
berkeinginan berumahtangga, tentulah lebih lagi. Dalil lain ialah
“Dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu, dan janganlah kamu berhias dan
bertingkah laku seperti orang jahiliah.” [TMQ Al-Ahzab (33):33]
Dan Hadis Rasulullah riwayat dari Bazzar dan At-Termizi menjelaskan,
“Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, setiap kali mereka keluar, syaitan akan memperhatikannya.”
Abul A’la al Maududi berkata:
“Jika kalimat tabarruj dipergunakan kepada kaum wanita, ia bermakna-
(i) wanita yang menunjukkan kecantikan wajahnya, daya tarik tubuhnya kepada lelaki asing (yang bukan mahramnya);
(ii) wanita yang mendedahkan kecantikan pakaian dan perhiasannya kepada
lelaki asing; dan memperlihatkan dirinya, make-upnya, gerak-gerinya dan
kemegahannya. Selain memastikan pakaiannya tidak nipis, jarang,
longgar, tidak memakai perhiasan yang menarik perhatian lelaki ajnabi,
tidak menyerupai pakaian lelaki atau orang kafir/musyrik, pakaiannya
yang bukan melambangkan kemegahan, dia juga tidak boleh tampil dengan
haruman semerbak. "Sesiapa jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian
melintasi khalayak ramai dengan tujuan dihidu bau yang dipakainya, maka
dia dikira berzina” [hadis dari Abu Musa al-Asy’ari].
Khatimah
Sesungguhnya aurat wanita Islam bukanlah hanya tudung semata-mata
sebagaimana yang difahami oleh sebahagian umat Islam sebaliknya apa yang
paling penting ialah setiap Muslimah mestilah memahami batasan aurat
dalam hayatul khassah (kehidupan khusus) dan hayatul am (kehidupan umum)
menurut syarak selain menyedari keharaman bertabarruj atas semua wanita
sama ada belum atau telah putus haid. Menutup aurat juga hendaklah
didasari dengan iman dan taqwa iaitu mengharapkan keredhaan Allah
semata-mata, bukan atas dasar hak asasi atau rutin harian. Memetik
kata-kata Sheikh Ali Thantawi:
"Terdapat perbezaan yang besar
antara seorang yang terjaga lewat pagi kemudian terus bergegas untuk
keluar bekerja. Disebabkan kesibukan menjalankan tugas, beliau tidak
berkesempatan untuk makan dan minum sehingga tibanya waktu malam,
sementara seorang yang lain yang turut mengalami keadaan berlapar dan
dahaga tetapi telah berniat untuk berpuasa, telah mendapat pahala
daripada amalannya disebabkan niatnya, sementara orang yang pertama
tidak memperoleh apa-apa sedangkan dia turut berlapar dan dahaga.
Begitulah keadaannya dengan amalan-amalan kebiasaan yang lain, bilamana
diniatkan untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhanahu wa Taala akan
memperolehi pahala dari Nya, sebaliknya jika dilakukan sebagai rutin
hidup, dia tidak akan memperoleh apa-apa".
Wallahu ‘alam bi sawab.